SUGGESTOPEDIA KAEDAH BERKESAN UNTUK PENGAJARAN BAHASA KEDUA

Pemerolehan B2

Pemerolehan bahasa kedua berlaku setelah seorang kanak-kanak atau orang dewasa telah fasih dalam menggunakan bahasa natif iaitu bahasa pertama. Bahasa pertama ini juga dikenali sebagai bahasa ibunda yang menunjukkan B1 pertama tersebut telah didedahkan kepada kanak-kanak semenjak kecil lagi. Hal ini menyebabkan B2 dapat dipelajari melalui pembelajaran secara formal, memerlukan latihan serta pengulangan sehingga menjadi tabiat diri seseorang.  

Pada masa ini, B2 amat penting terutamanya dari aspek pendidikan. Pendidikan mejadi wadah untuk seseorang itu lebih menguasai B2 bagi tujuan menambahkan ilmu pengetahuan. Selain itu, B2 juga dijadikan sebagai hiburan untuk lebih memahami bahasa yang lain. Namun begitu, menurut Eckman dalam (Noor Aina, 2017), semakin aneh ciri dalam bahasa tertentu berbanding dengan bahasa-bahasa lain, semakin sukar untuk seseorang itu menguasainya. Hal ini kerana terdapat tempoh yang kritikal untuk pembelajaran bahasa yang melibatkan sintaksis sehinggakan B2 itu sukar dipelajari.

Kaedah Pengajaran B2

Krashen dalam Norul Haida (2013) telah menyenaraikan pelbagai kaedah yang dapat membantu atau mengatasi masalah yang timbul dalam proses pembelajaran dan pemerolehan bahasa kedua. Terdapat pelbagai kaedah yang sering digunakan dalam pengajaran B2. Antara kaedah tersebut ialah kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah terus, kaedah ajuk-hafaz, kaedah suggestopedia, kaedah audio-lingual dan sebagainya. Menurut Danny D.Steinberg dalam terjemahan Azhar M.Simin (1990), kaedah ini berasaskan empat idea iaitu:

1.      Terjemahan

2.      Penyertaan konteks situasi

3.      Analisis linguistik

4.      Psikologi pembelajaran

Terjemahan bermaksud item bahasa yang tidak diketahui dalam bahasa sasaran akan dipadankan dengan bahasa pertama. Penyertaan konteks situasi pula item bahasa yang berada di luar konteks situasi. Bagi analisis linguistik, penerapan pengetahuan linguistik secara tidak langsung ataupun langsung dilakukan apabila mengajar bahasa kepada pelajar. Hal ini melibatkan istilah linguistik seperti kata nama, kata kerja, subjek dan lain-lain. Psikologi pembelajaran pula melibatkan rumus sintaksis dan kompleks linguistik.

            Namun demikian, semasa proses pembelajaran bahasa kedua terdapat beberapa sebab seseorang itu sukar untuk mempelajari bahasa kedua. Pertama, sintaksis akan lebih sukar dipelajari apabila berada pada tahap melebihi tempoh kritikal. Kedua, kanak-kanak yang meningkat dewasa dan orang dewasa kurang berminat untuk belajar B2 disebabkan kekangan masa. Selain itu, B1 dan B2 mempunyai perbezaan dan persamaan yang tersendiri.

Apa Itu Kaedah Suggestopedia?

Kaedah suggestopedia merupakan aktiviti yang membantu otak berfikir dengan aktif semasa pembelajaran bahasa. Kaedah ini diperkenalkan oleh Georgi Lozanov pada tahun 1970. Lazanov menyatakan bahawa seorang pelajar B2 boleh mempelajari 1 800 patah perkataan dalam tempoh 24 hari dengan cara bertutur berasaskan sesuatu nahu dasar, dan membaca sebarang teks. Hal ini menunjukkan kecekapan yang serupa dapat diperoleh melalui hypermnesia (Danny D.Steinberg dalam terjemahan Azhar M.Simin, 1990). Hypermnesia  merupakan perubahan daya ingatan di mana individu dapat mengekalkan dan mengingati bahasa dengan lebih pesat.

Kaedah ini dilakukan dengan pengajaran melalui dialog dan perbendaharaan kata yang harus dikaji dan dihafal oleh pelajar. Antara bahan-bahan yang digunakan dalam kaedah ini adalah bentuk tulisan, kemudian diaplikasikan kepada bentuk lisan. Apabila bahan-bahan ini dikemukakan kepada pelajar-pelajar, tingkah laku pelajar juga dapat dilihat dengan kewujudan peristiwa-peristiwa tertentu. Sebagai contoh, kemahiran daya ingatan pelajar dapat dilihat dengan jelas apabila kaedah ini dilaksanakan. Menurut Scovel dalam terjemahan Azhar (1990), beliau menyatakan bahawa kaedah Suggestopedia adalah kaedah yang baik untuk pembelajaran bahasa.

Tujuan Kaedah Suggestopedia

·   Suggestopedia bertujuan menyampaikan kemahiran perbualan dengan lebih cepat. Cara penguasaan pelajar terhadap kosa kata mampu memberikan matlamat kepada diri pelajar masing-masing (A. Bakhromova, 2022).
·       Keyakinan pelajar juga dapat ditingkatkan melalui penyampaian guru dengan adanya penggunaan muzik yang diiringi sebagai latar dan ketepatan masa untuk mengawal proses pengajaran bahasa.
·     Suggestopedia dapat memberi motivasi kepada potensi mental para pelajar untuk belajar kerana muzik dapat memberi bayangan kepada pelajar untuk menggambarkan imaginasi mereka (Astutik, 2019)
·     Kaedah ini memudahkan pelajar untuk berhujah secara langsung dalam proses pengajaran tanpa rasa takut untuk bersuara supaya dapat fokus dan bertukar-tukar idea (Syarifuddin et al., 2022).

Bagaimana Kaedah Suggestopedia Dilaksanakan?

Suggestopedia membantu para pelajar untuk berasa tenang dan menikmati proses pengajaran tiga kali ganda dengan lebih cepat. Suggestopedia juga kaedah yang menggunakan muzik atau video, dialog serta perbendaharaan kata dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini dilaksanakan dengan cara:

1.      Guru akan mambaca setiap dialog dengan kuat melalui cara tertentu, tiga kali kepada pelajar

2.      Pada bacaan pertama, pelajar akan ikut guru membaca

3.   Pada bacaan kedua dan ketiga, pelajar-pelajar hanya akan mendengar sahaja. Akan tetapi, musik klasik akan dipilih secara khusus dan dimainkan mengiringi bacaan.

Kelebihan Kaedah Suggestopedia

Menurut Meier dalam Prasetya (2022), kaedah atau metode suggestopedia merupakan kaedah yang paling sempurna dalam proses pembelajaran. Terdapat beberapa kelebihan Suggestopedia:

1.      Memberikan ketenangan dan kesantaian

2.      Memberikan kegembiraan dalam proses pengajaran

3.      Mempercepat proses pembelajaran

4.      Memberi penekanan kepada perkembangan kecekapan 

Kelemahan Kaedah Suggestopedia

Walaupun pandangan terhadap kaedah Suggestopedia lebih positif, terdapat juga kelemahannya seperti:

1.      Kaedah ini hanya dapat dilaksanakan dalam kelompok kecil sahaja

2.      Memberi kegelisahan kepada pelajar yang tidak gemar akan muzik

3.      Pemahaman membaca dan pembetulan terlalu terbatas

4.      Persiapan pelajar juga terbatas

Kesimpulan

Jelaslah bahawa, suggestopedia merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk pengajaran B2. Kaedah ini juga amat menekankan kepada pertuturan yang turut menunjukkan percubaan untuk memperbaiki ingatan dengan adanya muzik. Selain itu, kaedah ini turut memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan keadaan yang tenang, santai dan percaya diri. Di samping itu, suggestopedia membantu meningkatkan kebolehan untuk bercakap terutamanya dalam bahasa kedua. Oleh itu, kaedah ini boleh digunakan dalam pengajaran bahasa kedua bagi memastikan pelajar dapat menguasai B2 dengan baik dan lancar.




Rujukan

Buku

Azhar M.Simin (1990). Psikolinguistik Bahasa, Akal Budi dan Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norul Haida Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Emeritus Publications.

Noor Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Jurnal

Astutik, Y. P. (2019). The Effect of Using Suggestopedia Among Students’ Speaking Ability. English Language in Focus (ELIF), 1(2), 137–144.

Bakhromova, A., & Ergashev, M. (2022). Suggestopedia As an Important Method of Teaching Vocabulary. Central Asian Journal of Literature, Philosophy and Culture, 3(6), 91-93.

Prasetya, D., & Safitri, K. (2020). Metode Suggestopedia Sebagai Alternatif Dalam Meningkatkan Motivasi Belajar Siswa Sekolah Dasar. TRIHAYU: Jurnal Pendidikan Ke-SD-An, 6, 866-73.

Syarifuddin, M., Muhlisin, M., & Thinh, V. T. (2022). Suggestopedia-Based Language Learning to Enhance Students’ Speaking Skills Viewed from Teachers’ Educational Background. Journal of Language and Literature Studies, 2(1), 12–22. https://doi.org/10.36312/jolls.v2i1.709

  


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

AFASIA BROCA JUGA KECELARUAN BAHASA

PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DAN TEORI: APAKAH HUBUNG KAIT KEDUA-DUANYA?