PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DAN TEORI: APAKAH HUBUNG KAIT KEDUA-DUANYA?





Pengertian Pemerolehan Bahasa

 Bloch dan Trager( dalam Noor Aina, 2017)menyatakan bahasa dapat didefinisikan sebagai satu sistem arbitrari simbol vokal yang digunakan untuk merujuk sekumpulan sosial untuk berinteraksi. Sekiranya bahasa tiada, komunikasi antara manusia tidak dapat dilakukan secara langsung terutamanya dari segi luahan emosi, bunyi, berfikir dan sebagainya. Terdapat beberapa ciri-ciri bahasa yang dapat dikaitkan iaitu penggunaan saluran auditori-pertuturan, arbitrari, mempunyai makna, ciri pancaran budaya atau tradisi dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan perbezaan bahasa berdasarkan ciri-ciri bahasa yang sudah ada. Menurut Dardjowidjojo (2005), pemerolehan bahasa merupakan proses penguasaan bahasa yag dilakukan oleh seorang anak secara natural pada waktu dia belajar bahasa ibunya. Pemerolehan bahasa bermula dari pendedahan bahasa kepada bayi dan bahasa pertama yang diperoleh dikenali sebagai bahasa ibunda. 

Menurut Altman (dalam Noor Aina, 2017), bahasa seperti bunyi dapat menembusi rahim ibu. Hal ini menyebabkan bayi dalam kandungan mampu mendengar bunyi dari luar rahim ibu tetapi pendengarannya adalah terhad. Namun begitu, pemerolehan bahasa akan melalui beberapa proses tentang bagaimana kanak-kanak dapat mempelajari bahasa. Teori-teori tentang pemerolehan bahasa akan saya kupas lebih jelas bagaimana pemerolehan bahasa pertama dalam kalangan kanak-kanak.

Teori Behavioris

Teori ini merupakan teori yang menjelaskan bahawa bahasa diperoleh dari proses pembelajaran atau pengalaman (Norul Haida, 2013). Pengalaman bahasa yang ada pada kanak-kanak mampu meningkatkan pengetahuan mereka dalam pemerolehan bahasa pertama dengan lebih berkembang dan kukuh. Hal ini dikatakan demikian kerana kanak-kanak telah terdedah dengan bahasa tersebut sejak kecil lagi. Beberapa tokoh berpendapat behavioris merupakan kewujudan hubungan yang dinamik rangsangan dan gerak balas. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak boleh bertutur dengan sendiri untuk meminta keperluannya seperti makanan atau minuman. Pengulangan bahasa yang digunakan oleh kanak-kanak ini ini menunjukkan pemerolehan bahasa mereka lebih teguh apabila perkataan tersebut diulangi berulang kali. Buktinya, B.F Skinner mendapati bahawa rangasangan serta tindak balas secara berulang-ulang akan menyebabkan pembelajaran akan berlaku. Hal ini menyebabkan tingkah laku tersebut akan menjadi kebiasaan berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. 

Selain itu, E.L Thorndike turut menjelaskan bahawa hukum-hukum pembelajaran dapat dikaitkan melalui rangsangan dan gerak balas terhadap seseorang kanak-kanak. Misalnya, kanak-kanak tersebut akan berasa senang apabila mendapat pujian atau ganjaran melalui perkembangan pembelajarannya. Pendapat beliau juga menekankan teori behaviorisme yang mementingkan persekitaran untuk pembelajaran bahasa seorang kanak-kanak. Pembelajaran ini adalah melalui orang di sekeliling kanak-kanak tersebut seperti ibu bapa mengajarnya untuk bercakap dan memberi pujian setiap kali kanak-kanak itu bertutur mengikut perkataan yang diajar. Hal ini menunjukkan hubungan dengan peneguhan positif dan peneguhan negatif.

Teori ini juga hanya memerlukan kelakuan sebagai langkah mendeskripsi serta menjelaskan sesuatu perkara. Sebagai contoh, teori ini menggunakan model S-R. Model ini menunjukkan hubungan antara rangsangan stimulus (S) dengan reaksi (R) yang menunjukkan bahasa yang efektif akan mempamerkan reaksi yang tepat kepada rangsangan. Sebagai contoh, apabila seorang kanak-kanak mengungkapkan perkataan “hanimau” untuk “harimau” pasti kanak-kanak tersebut akan diperbetulkan tutur katanya oleh ibu atau sesiapa sahaja yang mendengar kata tersebut. Apabila kanak-kanak itu mengucapkan harimau dengan tepat, dia tidak akan mendapat teguran kerana tutur katanya sudah betul. Situasi ini menunjukkan reaksi yang tepat terhadap rangsangan dan menunjukkan bagaimana pemerolehan bahasa pertama.

                        

Teori Kognitivisme

Teori kognitif merupakan pembelajaran adalah perubahan dalam pengetahuan yang disimpan dalam memori (Norul Haida, 2013). Teori ini juga mempunyai urutan-urutan perkembangan kognitif yang akan menentukan urutan perkembangan bahasa. Piaget juga menjelaskan bahawa proses mental amat penting dalam proses pembelajaran dan menolak teori behavioris yang tidak menggunakan proses mental. Berdasarkan proses ini, kanak-kanak mampu memperoleh pengetahuan melalui keadaan di sekelilingnya. Sebagai contoh, pada peringkat deria motor iaitu 0-2 tahun atau peringkat enaktif, kanak-kanak akan menggunakan deria motornya untuk menyesuaikan dan berkomunikasi dengan persekitarannya. Misalnya, pada umur sebulan hingga empat bulan atau reaksi asas sekular, bayi akan menggerakkan sistem sensorinya untuk mewujudkan situasi yang baru. Bayi ini akan menggerakkan kepala dan matanya apabila mendengar bunyi. Peringkat yang seterusnya ialah pada umur 2-7 tahun atau peringkat ikonik dan simbolik iaitu kanak-kanak akan menggunakan visual,bahasa,muzik serta simbol bagi menjelaskan sesuatu konsep.

Peringkat simbolik iaitu umur 4-7 tahun adalah peringkat kanak-kanak boleh bertutur dengan fasih melalui penguasaan bahasanya dan perkembangan kognitifnya semakin pesat. Namun begitu, peringkat ini mereka tidak boleh memikir secara deduktif iaitu umum kepada contoh khusus dan secara induktif iaitu contoh khusus kepada umum. Teori ini banyak menekankan tentang setiap orang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam dirinya. Hal ini kerana konsep kognitif yang mengaitkan tentang proses mental untuk mempelajari sesuatu perkara. Teori ini jelas menunjukkan bagaimana proses perkembangan pemikiran kanak-kanak berdasarkan peringkat umur dan kematangannya untuk memperoleh sesuatu maklumat.  Tambahan pula, teori ini menekankan pembelajaran merupakan proses mental dan bukannya proses mekanis iaitu tingkah laku  sebagai akibat berinteraksi dengan keadaan persekitaran.

Teori mentalis Chomsky


Chomsky menyatakan bahawa penjelasan tentang sesuatu yang kompleks seperti kelakuan bahasa manusia memerlukan kemampuan lahiriah manusia untuk mempelajari sesuatu bahasa (Arsanti. M, 2014). Beliau juga berpendapat bahawa bahasa hanya dapat dikuasai oleh manusia dan binatang tidak mungkin mampu menguasai bahasa manusia (Fatmawati S,R , 2015). Teori ini dikaitkan dengan Peranti Pemerolehan Bahasa atau dikenali sebagai Languange Acqusition Device (LAD). Noam Chomsky menjelaskan LAD dapat membezakan manusia daripada haiwan kerana ini merupakan ciri khas yang ada dalam minda manusia (Norul Haida, 2013). Hal ini kerana. Tedapat dua komponen manusia memperoleh bahasa iaitu competence dan performance. Competence menunjukkan kemampuan manusia sejak lahir untuk menguasai peraturan yang ada dalam kepala penutur. Performance pula bermaksud pewujudan bahasa yang dilihat dalam percakapan serta penulisan.

            Berikutan LAD, lahirlah satu lagi lagi teori iaitu nahu universal. Teori ini mengemukakan bahawa semua nahu di dunia ini berkongsi prinsip dan sistem bahasa yang sama. Misalnya, semua bahasa mempunyai kata kerja, subjek dan predikat, bilangan yang lebih daripada suatu kata dan sebagainya. Nahu universal ini menganggap bahasa ialah fitrah yang membolehkan kanak-kanak di serata dunia memperoleh bahasa tanpa melalui sebarang latihan seperti kelas bahasa sebagaimana kanak-kanak normal mempelajari cara untuk belajar (Khazriyati Salehuddin, 2018). Oleh itu, teori ini menjelaskan pemerolehan bahasa mementingkan proses pemikiran.

Kesimpulan

Jelaslah bahawa teori yang dikemukakan oleh tokoh psikologi saling berhubung kait antara satu sama lain dengan pemerolehan bahasa kanak-kanak. Secara keseluruhannya, teori bahaviorisme merupakan respons terhadap kemampuan komunikatif kanak-kanak, teori nativisme ialah tahap manusia untuk memproses maklumat linguistik dan ahli teori kognitif berpendapat bahawa perkembangan atau pemerolehan bahasa dipengaruhi proses mental melalui persekitarannya (pemerolehan kalimat). Pemerolehan bahasa menunjukkan perkembangan kanak-kanak untuk memperoleh kosa kata amat penting berdasarkan peringkat umurnya. 




Rujukan

Buku

Azhar M.Simin (1990). Psikolinguistik Bahasa, Akal Budi dan Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa              dan Pustaka.

Khazriyati Salehuddin (2018). Psikolinguistik: Penerokaan Minda Berlandaskan              Bahasa. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Norul Haida Reduzan (2013). Ilmu Psikolinguistik. Emeritus Publications.

Noor Aina Dani (2017). Asas Psikolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Soenjono Dardjowidjojo (2003). Psikolinguistik: Pengantar Pemahaman Bahasa Manusia. Yayasan Obor Indonesia. Jurnal

Arsanti, M. (2014). Pemerolehan bahasa pada anak (kajian psikolinguistik). Jurnal PBSI3(2).

Fatmawati, S. R. (2015). Pemerolehan bahasa pertama anak menurut tinjauan   psikolinguistik. Lentera17(1).

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SUGGESTOPEDIA KAEDAH BERKESAN UNTUK PENGAJARAN BAHASA KEDUA

AFASIA BROCA JUGA KECELARUAN BAHASA